Tuesday, October 14, 2014

JANGAN TAKUT MULAKAN PERNIAGAAN

Tidak  dinafikan, ramai yang ingin wang tambahan dalam gaya hidup yang menekankan hari ini. Antara cara menjana pendapatan tambahan ialah memulakan perniagaan sambilan. Namun, ia tidak semudah yang disangka bagi mereka yang belum menjalankan perniagaan.

Sememangnya sembilan daripada 10 rezeki datang daripada perniagaan. Tetapi masalahnya, sembilan daripada 10 perniagaan gagal. Kebanyakannya gagal pada tahun pertama saja. Hendak memulakan perniagaan memang mudah tetapi susahnya menjalankan perniagaan yang berjaya.

            Ketika menjalankan seminar dan kursus perniagaan serata Malaysia, soalan yang sering ditanya, apakah perniagaan yang terbaik? Jawapan saya, “Apakah minat anda?” Dalam memulakan perniagaan, sebaiknya ia mengikut minat, kebolehan atau kepakaran yang ada pada diri sendiri. Kebanyakan perniagaan yang gagal kerana menjalankan perniagaan yang tidak diminati. Selalu saya dengar usahawan mengadu selepas gagal berniaga baru sebulan dua kerana memulakan perniagaan sebab “ikut kawan”, “perlukan wang sangat” atau “saja nak cuba”.

            Teringat saya 12 tahun lalu ketika saya mulakan perniagaan Internet saya yang pertama untuk menjana wang tambahan iaitu perkhidmatan mereka cipta. Selama setahun, saya cuma berjaya mendapat tiga orang pelanggan saja. Tiga pelanggan dalam masa setahun ternyata satu kegagalan juga tak pulang modal!

            Tetapi walaupun gagal, saya tidak putus asa dan meneruskan juga perniagaan sebab saya amat berminat dalam bidang reka cipta. Ketika di sekolah agama dulu, jika ada pertandingan tulisan khat, pasti saya menang. Ketika di sekolah rendah dan menengah, saya sering jual hasil lukisan saya kepada kawan-kawan. Di ITM dan universiti pula, saya membuat kemeja-T dan kad raya untuk dijual sesama kawan. Minat dan bakat saya sememangnya dalam bidang reka cipta, justeru walaupun menjalankan perniagaan dengan hanya tiga pelanggan setahun, saya tetap melakukannya kerana minat, bukan kerana wang.

            Apabila membaca kisah bilionair berjaya seperti Bill Gates, Steve Jobs, Oprah Winfrey dan Richard Branson, semuanya menjalankan perniagaan yang menurut minat dan kebolehan masing-masing. Jadi, bukan lagi rahsia minat menjadi kunci kejayaan perniagaan.

            Sekiranya anda ingin mulakan perniagaan, tidak perlu lihat di tempat lain, tetapi lihat dalam diri sendiri. Apakah minat anda? Apakah kekuatan anda? Apakah kebolehan anda? Apakah latar belakang anda? Jawapan kepada soalan ini menjadi permulaan untuk menentukan jenis perniagaan terbaik untuk anda lakukan.

            Apabila dalam keadaan memerlukan wang tambahan, pelbagai cara difikirkan, antaranya memulakan perniagaan sambilan. Jika dalam keadaan terdesak, sering kali emosi mengawal perasaan kita dalam menyertai program perniagaan, skim pelaburan dan macam-macam lagi peluang menjana pendapatan.

Fikir sebelum melaburkan apa saja wang yang kita ada kerana terlalu banyak peluang perniagaan, menjana pendapatan dan melabur yang hanya meleburkan duit kita. Fikirkan minat yang pertama dan wang kedua!


SOALAN

Saya tertarik dengan cara anda menjana pendapatan menggunakan Internet. Saya ingin memulakan perniagaan Internet, di manakah perlu saya mula?

Andy,
Rawang,Selangor.

JAWAPAN
PERNIAGAAN Internet mempunyai pelbagai kelebihannya. Antaranya, kos memulakan perniagaan Internet rendah dan mudah dimulakan oleh sesiapa saja. Dengan gajet telefon pintar dan tablet yang sering digunakan hari ini, ia memudahkan perniagaan Internet dijalankandi mana saja pada bila-bila masa.

Selain itu, perniagaan Internet membolehkan kita mendapat pasaran yang lebih besar - bukan saja Malaysia tetapi global. Perniagaan Internet seperti perniagaan bukan Internet yang biasa kita lihat. Anda perlu mempunyai produk atau perkhidmatan untuk diniagakan. Mulakan dengan minat anda. Bidang apa yang anda minat, produk dan perkhidmatan dalam bidang itulah yang terbaik untuk anda niagakan.

Langkah kedua dalam perniagaan Internet memerlukan ‘kedai’ di Internet. Kedai di Internet pula zaman ini datang dalam pelbagai jenis. Mungkin ia laman web, blog atau Facebook. Dengan hanya mempunyai tempat di Internet untuk menjual seperti Facebook itu sendiri, ia sudah memadai untuk menjual produk atau perkhidmatan anda.

Langkah ketiga ialah promosi. Amat penting promosi dalam perniagaan Internet malah lebih banyak cara promosi yang diketahui, lagi hebat perniagaan Internet anda.

Dalam apa saja perniagaan, tidak kira perniagaan Internet atau perniagaan bukan Internet, ilmu amat penting. Dalami ilmu perniagaan terlebih dulu sebelum memulakan apa saja perniagaan. Baca buku, layari Internet, hadiri kursus dan apa saja untuk menambahkan ilmu perniagaan di dada.

Tony Fernandes


MUNGKIN ramai yang tidak menyedari bahawa seorang ahli muzik yang pernah mengetuai syarikat rakaman Warner Music (M) Sdn. Bhd., Tony Fernandes kini merupakan seorang tokoh korporat tanah air yang disegani kerana kejayaannya mencetus revolusi dalam industri penerbangan rantau Asia.

Bagaimanapun, kejayaan yang dibinanya sejak enam tahun lalu itu, bukannya datang bergolek, kerana Fernandes, yang mahir bermain keyboard itu, terpaksa melalui ‘ranjau dan duri’, sebelum berjaya membina firma penerbangan tambang murah AirAsia Bhd. sehingga dikenali di peringkat antarabangsa pada masa ini.

Kejayaannya itu juga telah mengheret beliau ke dalam kancah kontroversi termasuk dikaitkan dengan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, tokoh korporat T. Ananda Krishnan (seorang hartawan), Tan Sri Vincent Tan (tokoh korporat), Datuk Mokhzani (anak Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan beberapa orang lain, tetapi Fernandes mengambil sikap ‘membisu’ kerana tidak mahu kontroversi itu merebak menjadi isu.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia itu ketika menceritakan detik permulaan beliau menceburi industri penerbangan berkata: “Saya sudah lama bercita-cita ingin menceburi perniagaan secara serius, tetapi tidak tahu perniagaan apa yang ingin dijalankan.”
Fernandes berkata, idea untuk menubuhkan syarikat penerbangan datang secara spontan semasa beliau berada di London, ketika menonton televisyen.

“Saya tertarik melihat iklan sebuah syarikat penerbangan tambang murah, Easyjet. Kemudian saya bergegas ke Lapangan Terbang Luton (di London) dan menghabiskan masa selama dua hari di sana.
“Saya tertarik dengan konsep perniagaan itu dan bercadang untuk memperkenalkan perkhidmatan itu di Malaysia dan menyimpan impian untuk mengembangkan konsep itu di rantau Asia,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Katanya, setelah kembali ke Malaysia, beliau telah menyatakan hasratnya itu untuk menubuhkan syarikat penerbangan kepada kawan rapatnya (Datuk) Kamarudin Meranum yang merupakan bekas kakitangan sebuah bank pelaburan dan kini menjadi Pengarah Eksekutif AirAsia.

“Saya mengenali Kamarudin menerusi Sheila Majid (Ratu Jazz Malaysia) dan selain itu, Kamarudin juga merupakan kawan rapat kepada Roslan Aziz (penerbit muzik).
“Saya menyatakan hasrat saya untuk menjadi usahawan dan menubuhkan syarikat penerbangan kepada Kamarudin.

“Setelah mendengar penjelasan saya itu, Kamarudin bersetuju untuk bersama dan kami kemudian mengeluarkan wang simpanan masing-masing dan berjaya mengumpulkan sebanyak RM1 juta sebagai modal permulaan,” katanya.

Fernandes berkata, beliau masih ingat lagi tarikh keramat itu ialah pada Mei 2001.
Beliau dan Kamarudin menjemput seorang lagi rakan baik mereka dalam industri muzik tanah air iaitu Aziz Bakar untuk menyertainya.

“Kami kemudian menemui Datuk Pahamin Ab. Rajab, untuk meminta bantuannya bagi mendapatkan lesen penerbangan.

“Kami meminta bantuan Pahamin kerana beliau sebelum itu banyak membantu industri muzik dalam memerangi cetak rompak semasa menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Perdagangan Hal Ehwal Dalam Negeri,” katanya.

Menurut Fernandes, Pahamin kemudian mengatur temu janji bagi pihak kami dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.

“Dalam pertemuan itu, Tun Mahathir telah memaklumkan bahawa lesen syarikat penerbangan tidak lagi dikeluarkan dan jika kami berminat, kami diminta mengambil alih mana-mana syarikat penerbangan yang ada ketika itu.

Gandingan dua usahawan hebat Tony Fernandes dan Kamrudin Meranun
“Pahaminlah yang telah menukar impian kami menjadi kenyataan,” katanya.
Atas jasanya (Pahamin) itu, Fernandes berkata, beliau telah mempelawa Pahamin menjadi rakan kongsi. Fernandes dan rakan-rakan kongsinya itu kemudian mengambil alih syarikat penerbangan AirAsia Sdn. Bhd. daripada DRB-Hicom Bhd. menerusi Tune Air Sdn. Bhd., pada 8 September 2001 untuk diterapkan konsep tambang murah.

Ketika mengambil alih Tune Air, mereka juga terpaksa mengambil alih hutang tertunggak syarikat tersebut dengan Malaysia Airlines Bhd., Malaysia Airport Holdings Bhd. dan Petronas yang berjumlah RM20 juta, katanya.

“Selepas mengambil alih AirAsia, kami diberi tempoh selama enam bulan untuk melunaskan kesemua hutang yang tertunggak itu.

“Kami telah berbincang bagi mencari jalan bagaimana untuk menjelaskan hutang tersebut kerana kami tidak mempunyai modal yang mencukupi,” katanya.



 


Penyelamat

Menurut Fernandes, penyelamat mereka ketika itu adalah kontrak AirAsia dengan Tabung Haji yang diwarisi daripada DRB-Hicom, yang menjana keuntungan kepada AirAsia.

Beliau berkata, keuntungan daripada kontrak AirAsia itu telah digunakan untuk membayar balik hutang tersebut.

“Kontrak penerbangan jemaah haji yang berbaki dua tahun ketika kami mengambil alih AirAsia telah menjadi penyelamat, kalau tiada kontrak itu, tak tahulah apa yang mungkin berlaku pada kami ketika itu.

“Kami juga telah meminta seorang lagi rakan kami iaitu, bekas pemain gitar base kumpulan Discovery (Datuk) Nasser Abdul Kassim yang pernah bermain bersama Fauzi Marzuki dan Goh Boon Hoe untuk menguruskan kontrak tersebut,’’ katanya.

Nasser kini merupakan Pengarah Rantau Kargo AirAsia, tambah beliau.
Nasser berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang, namun begitu kontrak tersebut tidak dilanjutkan kerana kerajaan memberikan kontrak itu semula kepada MAS, katanya.

“Kami di AirAsia memang suka berkawan dan kami melantik kawan-kawan daripada pelbagai latar belakang dan keturunan untuk menjadi rakan kongsi kami. Ternyata formula ini telah membuahkan kejayaan kepada AirAsia,” katanya.

Fernandes berkata, kejayaan AirAsia bukan sahaja merupakan manifestasi kejayaan negara tetapi merupakan simbol kejayaan masyarakat majmuk dalam menguruskan sebuah syarikat perniagaan.
Ketika menceritakan lebih lanjut perkembangan AirAsia, Fernandes berkata: “Baru-baru ini, kami telah melantik Mark Lankester (adik kepada pelakon Susan Lankester) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Tune Hotels.Com; Datuk Seri Kalimullah Hassan sebagai Pengerusi AirAsia X; Tengku Zafrul Aziz (bekas Ketua Avenue Securities Sdn. Bhd.) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tune Money Sdn. Bhd. dan penyanyi rock, Jason Lo sebagai Ketua Eksekutif Tune Talk Sdn. Bhd.”
Fernandes berkata, beliau mengenali Kalimullah semasa makan di sebuah restoran.

Tune Hotel lambang kejayaan usahawan Malaysia
Beliau berkata, kesemua mereka itu adalah rakan-rakan rapatnya dan langkah melantik mereka ke dalam syarikat adalah bertujuan mengembangkan AirAsia.

“Saya sedar, kejayaan besar saya dalam tempoh yang singkat itu telah menimbulkan pelbagai tuduhan kononnya syarikat kami dimiliki oleh Ananda Krishnan, Vincent Tan, Mokhzani, Khairy dan beberapa orang lain. 



“Malah ada yang mendakwa nombor pendaftaran pada pesawat kami bermula dengan ‘AK’ membawa maksud Ananda Krishnan. Sebenarnya nombor itu telah lama ada pada pesawat kami dan kami warisi nombor itu daripada syarikat induk terdahulu iaitu DRB-Hicom Bhd.,” katanya.
Sambil menafikan semua desas-desus itu, Fernandes berkata, kejayaan syarikat tersebut adalah hasil kerja keras seluruh warga kerja AirAsia yang terdiri daripada berbilang kaum, yang bertungkus-lumus membawa AirAsia ke puncak kejayaannya sekarang.

Mengenai hubungannya dengan Khairy, Fernandes berkata, beliau mengenali Khairy semasa Naib Ketua Pemuda UMNO itu memperkenalkan program pasukan bola sepak berkonsep realiti, MyTeam pada tahun 2006.

“Saya tertarik dengan konsep itu kerana merasakan ia berpotensi untuk diketengahkan dan kemudian bersetuju menaja pasukan tersebut, tidak lebih daripada itu,” katanya.
Fernandes juga bangga kerana kejayaan AirAsia adalah atas sikap berdikari dan tidak bergantung kepada subsidi kerajaan.

Katanya, tiada yang istimewa dalam AirAsia, sesiapa sahaja mampu melakukannya, jika ada tekad dan azam yang kuat, di samping sikap tidak mahu mengalah.

Dalam tempoh enam tahun sejak penubuhannya, kakitangan AirAsia kini meningkat daripada 200 orang kepada 5,000 orang dengan pesawat meningkat kepada 65 buah berbanding dua buah pesawat pada permulaan dan jumlah penumpang daripada 200,000 setahun kepada 18 juta setahun.

Kini Fernandes dan rakan-rakan daripada semua kaum membuktikan syarikat Malaysia mampu bersaing di pentas global dan mengubah landskap industri penerbangan negara selaras dengan label syarikat itu, ‘Now Everyone Can Fly’.


USAHAWAN BERJAYA PENGASAS SANI EXPRESS



 




LATAR BELAKANG.
(Profil)

NAMA               : Datuk Wan Mohammad Sani Salleh
USIA                :
 38 tahun
LAHIR              :
 24 Julai 1976 di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu
ADIK BERADIK:
 Keempat daripada enam beradik
PENDIDIKAN    :
 Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)
JAWATAN        :
 Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties  
 Sdn Bhd  dan Sani Hotel Sdn Bhd).
PENCAPAIAN   : Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran
   Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah   
  Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur
  (April, 2009).

 


PEMBANGUNAN PERNIAGAAN YANG DIJALANKAN.

PADA usia ini, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM9 juta.

Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT.

“Saya berusaha keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya adalah daripada Allah SWT,” kata anak muda itu.

Anak muda yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, 38. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering menjadi sebutan. Namanya harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya sendiri. Siapa tidak pernah mendengar nama Sani Express. Destinasi ke ‘Pantai Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara. Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.

Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.

“Biasalah… dulu saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.

“Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.

Selama beberapa tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa depannya dalam bidang itu. Rakannya sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas melihat rakannya berjaya dalam perniagaan.

“Melihat rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.

“Pada masa sama saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan saya ketika itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.

Beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.
Katanya, beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.

“Ketika zaman sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas sebagai pengangkutan.

“Boleh dikatakan rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas. Jika ada cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada malam keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” katanya.
Ketika memulakan perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuh dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat.

Pada 2003 Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.
“Ketika itu saya bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu menarik diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika itu memang getir,” katanya.
Beliau terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan dibuat adalah tanpa dirujuk kepada sesiapa.

“Ketika ada dua rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila seorang diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.

“Jika tersilap membuat keputusan, memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, saya fikir 10 kali,” katanya.

Sani berkata, ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan.

Katanya, beliau menanggung risiko besar kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau berani dan yakin dengan apa yang dibuat.

“Bayangkan jika apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman dalam jumlah besar itu?

“Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,” katanya.
Sani membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.

Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7 juta.
Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau.

Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan.

Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.

“Saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.

“Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik,” katanya.
Statusnya sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya.

Beliau belum berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.
“Setakat bekerja keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,” katanya yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan utamanya dulu turut menjadi faktor kejayaannya.

“Dari dulu saya guna pengangkutan awam (bas ekspres), jadi saya tahu apa yang pelanggan nak dan saya gunakan pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express.

“Selain itu saya mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada kerani kaunter hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu saja jawatan tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,” katanya yang mesra dengan kakitangannya.
Sani berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak mungkin beliau berjaya.

“Apa jua perkara yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

“Doa juga penting dan dalam hal ini ibu saya Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai sering mendoakan saya, begitu juga ayah saya. Kita juga perlu ingat kepada orang yang pernah membantu kita,” katanya.





MEMILIH USAHAWAN TERSEBUT KERANA:


1.  GIGIH BERUSAHA.

Melalui pengalaman yang dilalui dan menjadikan temannya sebagai inspirasi, beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri. Beliau gigih berusaha menggunakan sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan. Oleh itu, saya ingin menjadikan beliau sebagai sumber inspirasi saya supaya saya tidak mudah putus asa dan sentiasa berusaha agar impian yang saya hajati akan menjadi kenyataan.


2.  BERANI MENGAMBIL RISIKO.

Beliau perlu membuat keputusan seorang diri kerana 2 orang rakannya telah menarik diri. oleh itu, untuk membuat sesuatu keputusan beliau harus berhati-hati. Jika tersilap membuat keputusan, beliau akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, beliau berfikir 10 kali agar risiko yang bakal dihadapi dapat ditanggung oleh beliau. Sememang begitu, untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, kita seharusnya berani berhadapan dengan sebarang risiko yang bakal dihadapi. Disebabkan oleh sikap beliau yang sentiasa berfikiran kehadapan, saya menjadikan beliau sebagai idola saya supaya suatu hari nanti saya juga dapat berada pada tahap yang beliau berada sekarang.


3.  SIKAP INGIN TAHU.

Perasaan ingin tahu memang penting dalam dalam menjalani kehidupan seharian. hal ini demikian kerana perasaan ingin tahu terhadap sesuatu benda menjadikan seseorang itu berjaya dalam hidupnya. bak kata pepetah melayu "Malu bertanya sesat jalan". Oleh itu, melalui pertanyaan kita akan memperolehi maklumat dan menjadikan maklumat itu sebagai panduan untuk kita terus melangkah kehadapan. Beliau juga belajar daripada orang yang berpengalaman, malah beliau juga pernah belajar dengan orang yang gagal kerana kegagalan itu dapat dijadikan sebagai ikhtibar. Oleh itu, penting bagi semua orang untuk menjadikan kisah masa lalu sebagai pengajaran agar ia dapat memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan dan terus maju kehadapan.


4.  MERENDAH DIRI.

Walaupun beliau layak digelar sebagai jutawan, namun beliau lebih suka merendah diri dan menganggap apa yang beliau miliki hari ini adalah rezeki dan ketentuan daripada Allah swt. Sikap ini merupakan sikap yang baik yang dapat dijadikan teladan kepada semua orang kerana setiap rezeki yang diperolehi adalah rezeki daripada Allah. Kita sebagai manusia harus mensyukuri segala pemberian daripada Allah disamping kita berusaha bersungguh-sungguh. 


FAIZA BAWUMI SEORANG USAHAWAN WANITA YANG BERJAYA




Nama           :  Faiza Bawumi Sayed Ahmad.
Umur           :  69 Tahun
Asal            :  Mesir
Jawatan     :  Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn. Bhd
Pendidikan :  Diploma Jahitan


Faiza Bawumi Sayed Ahmad adalah pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd. pada tahun 1964, wanita kelahiran Mesir ini telah berhijrah ke Malaysia kerana mengikut suaminya.  Pada ketika itu, beliau mampu menguasai Bahasa Melayu dan fasih berbahasa Melayu setelah hanya tiga bulan di Malaysia kerana sifat beliau yang peramah dan suka bergaul dengan jiran jirannya. Meskipun  sudah berusia lingkungan 60an, beliau yang mempunyai tujuh orang anak dan juga seorang nenek kepada 32 cucu sibuk masih giat merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini. 

Wanita yang berperwatakan lembut itu sebenarnya seorang yang tegas. Beliau mahu memastikan syarikat yang ditubuhkan perlu berada di landasan betul sekali gus mencatatkan keuntungan saban tahun. Puan Faiza yang memangnya dilahirkan dalam keluarga yang juga bergiat dalam perniagaan. Berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak kecil, beliau pernah menjadi juruwang di kedai milik bapanya. Pengalaman tersebut mendorong beliau untuk bergiat secara serius dalam bidang perniagaan.

Setelah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata yg pertama, beliau mengikut  suaminya berhijrah ke Malaysia. Puan Faiza mencari aktiviti berfaedah yg boleh dilakukannya bagi mengelakkan masanya terluang begitu sahaja. Beliau bermula dengan mengambil upah menjahit sulaman dengan modal RM4 dan menjual pelbagai barangan dapur. Beliau juga membeli kain ela dan membuat baju gaun untuk anak-anak kecil jiran-jirannya. Kemudian beliau menghasilkan set sarung bantal. Hasil jahitannya yang cantik dan kemas dijual kepada kawan-kawannya. Seterusnya, beliau berniaga set ensiklopedia, diikuti bisnes pinggan mangkuk. Melalui bisnes kecil kecilan ini, beliau menabung wang bagi menjadikan modal bisnes seterusnya.

Beliau berminat pula menghasilkan rempah kari. Beliau membeli pelbagai rempah ratus seperti ketumbar, jintan, halba, cili kering, cengkih dan sebagainya untuk membancuh ramuan-ramuan tersebut bagi menghasilkan rempah kari ikan dan daging di bawah jenama Bunga Raya. Semuanya dilakukan sendiri di rumah, daripada mencuci, menjemur dan menggoreng rempah ratus tersebut. Kemudian, beliau menghantarnya ke kedai bagi dikisar dan diedarkan.

Selang beberapa tahun kemudian, Puan Faiza membeli pula sebuah mesin pengisar dan membuka kedai runcit dengan modal daripada menjual rempah kari itu. Dari situ beliau mendapati bahawa pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain. Beliau mula belajar pelbagai jenis beras. Puan Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam setelah mendapat maklumbalas positif atas usaha selidik beliau pergi dari satu kedai ke satu kedai bagi mendapatkan respon sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya. Para pelanggan yang melanggan rempahrempah beliau turut membeli beras daripadanya.

Pada permulaan, beliau agak buntu melihat satu lori treler penuh berisi beras diletakkan di hadapan rumah, namun beliau nekad dengan berusaha membungkus menggunakan jenama Bunga Raya dan menghantar ke kedai-kedai di seluruh Johor.

Perniagaan beliau mendapat sambutan walaupun mendapat persaingan yang agak sengit. Pada awal tahun 90an, syarikat telah mengambil peluang ke atas kepekaan masyarakat pada ketika itu kepada cara pembuatan dan kandungan makanan. Syarikat mula memperkenalkan dengan sejenis kategori beras berkualiti dari Kartanaka, India. Beras ini adalah jenis beras “Ponni”.  Menerusi produk berkualiti dan berkhasiat sesuai untuk pesakit seperti pesakit diabetis, SFSB memperkenalkan beras  “Ponni” ini ke seluruh Malaysia.

Syarikat beliau kini telah dikenali kerana kualiti produk yang tinggi, seratus peratus buatan Islam dan halal. Beliau berharap dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa was-was meragui status halalnya.

Puan Faiza bukan sahaja menjadi Pengarah Urusan Syarikat Faiza, tetapi turut bertungkus-lumus menentukan operasi syarikat berjalan lancar dan turut terlibat dalam projek kilang milik Syarikat Faiza bernilai RM14 juta di Sri Gading, Batu Pahat. Kejayaan beliau sekarang bukan diperolehi dengan mudah, tetapi setelah mengharungi segala cabaran selama 43 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan. Puan Faizah berkata semua usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah. 

Puan Faiza menyarankan agar umat Islam di negara ini supaya hidup bersatu padu supaya tidak mudah ditindas oleh bangsa lain dan hubungan yang kukuh sesama umat Islam bukan sahaja mampu memajukan masyarakat Islam di negara ini, malah mampu meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat tersebut.

Puan Faiza berkata pengalamannya berniaga, termasuk berurusan dengan bangsa lain membuka mindanya untuk menyedarkan masyarakat Islam khususnya orang Melayu betapa perlunya mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain seperti yang diamalkan bangsa lain. Beliau sentiasa mencontohi keperibadian Nabi Muhammad S.A.W dalam menjalankan kehidupan seharian, terutama amanah dan gigihnya Baginda Rasullulah dalam menjalankan perniagaan serta dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.


Pada usia emas, Hajah Faiza masih lagi aktif mengurus bisnessnya. Beliau dibantu oleh lima orang daripada tujuh anak-anaknya di samping ratusan orang pekerja. Kini beliau melakukan kerja-kerja amal di bawah pergerakan wanita UMNO Batu Pahat, Johor. Hajah Faiza berpegang teguh kepada prinsip bagi maju dalam bisnes individu itu perlu rajin berusaha, tifak mudah patah semangat  dan perlu mengamalkan sikap berjimat-cermat. Segala usaha bisnes walaupun bermula secara kecil-kecilan tidak boleh dipandang mudah kerana kesusahan itu dapat membina daya ketahanan diri kepada usahawan.

Saya memilih beliau kerana:

1. Rajin berusaha.

kejayaannya yang diperolehi sekarang bukan diperolehi dengan mudah, tetapi setelah mengharungi segala cabaran dan sikap sentiasa berusaha selama 43 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan. Sikap positif yang ditunjukkan oleh beliau mendatangkan minat saya untuk menjadikan beliau sebagai inspirasi dan pendorong kepada saya. Sikap rajin berusaha dalam hidup akan mendatangkan kejayaan tidak kira dari segi pelajaran mahupun dalam bidang pekerjaan. Oleh itu, jika seseorang rajin berusaha pasti akan berjaya dalam hidup. Bak kata pepatah berakit-rakit kehulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.


2. Bijak mengambil peluang.

Setiap usahawan yang yang berkecimpung dalam dunia perniagaan haruslah berani dan bijak mengambil peluang dalam mengembangkan sesuatu perniagaan. Sikap yang ditonjolkan oleh beliau adalan memanfaatkan segala peluang yang ada dengan melakukan segala pekerjaan yang bermula daripada bawah sehingga beliau mampu menjadi usahawan yang berjaya. Tidak ada cara lain untuk kita bersaing dengan orang lain kecuali dengan cara melakukan transformasi agar kita terus berusaha sehingga kejayaan menjadi milik kita. ini secara tidak langsung telah membuka minda saya supaya kita haruslah memanfaatkan segala peluang agar kita terus maju kehadapan dan mencapai cita-cita yang diimpikan. 


3. Bersikap jimat-cermat.

Kali ini saya hendak bercerita pula tentang berjimat cermat kerana ia membawa berkat. Usahawan ini mementingkan sikap berjimat cermat dalam kehidupan sehariannya. seharusnya amalan ini dijadikan amalan hidup kita semasa berbelanja mengikut keperluan diri sendiri dan bukannya di pengaruhi oleh kemahuan dengan mengambil kira kewangan diri. Lebih senang dikatakan menjadi pengguna yang berhemah. Memandangkan kepada ekonomi global yang tidak menentu,harga barang-barang keperluan yang semakin hari melambung naik. Oleh itu kita disarankan supaya berjimat cermat dan mengurangkan perbelanjaan harian supaya duit lebihan dijadikan tabungan untuk persediaan pada masa hadapan.


Saturday, October 11, 2014

ROZITA IBRAHIM USAWAHAN WANITA DI MALAYSIA YANG BERJAYA


Nama : Rozita Ibrahim
Syarikat: Sendayu Tinggi Sdn.Bhd
Tempat lahir: Sungai Besar, Selangor
Model: Honda Boon Siew
Bapa Pekerjaan: Guru Sekolah Agama
Pekerjaan ibu: Surirumah
Bilangan Anak: 5 Orang
Adik-Beradik: tertua dari 6 beradik


Pn. Rozita Ibrahim adalah seorang usahawan wanita yang berjaya dengan jenama Sendayu Tinggi. Beliau menganggap kecantikan luaran sahaja tidak mencukupi dan tidak menjamin kepuasan mutlak tetapi sebaliknya kecantikan dalaman akan melahirkan kecantikan luaran yang lebih sempurna. Pn. Rozita ingin mendorong perempuan mendekati perubatan ramuan yang dibawa 1001 jenis properti yang telah digunakan sejak berkurun. Diawali dengan diri sebagai ujikaji sehingga menubuhkan syarikat pada tahun 1997 dan memiliki luas sekitar 1999. Kosmetik Sendayu Tinggi dikaji secara terperinci untuk memproduksi kosmetik yang benar-benar memenuhi citarasa dan kesesuaian kulit perempuan di Malaysia.

  Beliau pernah menjadi penoreh getah, hidup penuh kedaifan dan serba kekurangan hinggakan pada suatu ketika bayinya diberi minum sirap bagi menggantikan susu. Kepayahan dan penat jerihnya tidak berbayar dengan kesenangan malah ia pernah meragut nyawa anak keduanya yang sakit dan lumpuh ekoran tidak berwang untuk mendapatkan rawatan terbaik. Pepatah hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat sungguh terkesan di hati dan mencabar dirinya untuk bekerja lebih kuat bagi memperoleh pendapatan yang selesa.


Sebelum bergelar usahawan yang berjaya dengan empayar perniagaan sendiri, Beliau mengakui pelbagai peristiwa duka melingkari perjalanan hidupnya. Ketabahan, kekuatan dan sentiasa yakin terhadap usaha sendiri dibalas dengan kejayaan yang mengangkat dirinya menjadi usahawan yang disegani.

Sendayu Tinggi amat dikenali dengan rawatan herbanya apatah lagi Sliming Set yang kian popular telah terbukti berkesan dalam menguruskan badan. Bermula dengan manjadikan diri sendiri sebagai bahan ujikaji seterusnya menubuhkan syarikat pada tahun 1997 dan bertapak secara meluas sekitar tahun 1999, sekali lagi beliau mancipta revolusi kecantikan dan berpaling arah dalam meliasasikan kecantikan wanita.

Sendayu Tinggi telah mempunyai kilang pemprosesan herba bagi produk tradisional dan kilang ini telah memperoleh lesan Amalan Perkilangan Baik (GMP) yang terletak di Pulau Indah, Klang, Selangor. Jumlah pengedar kini lebih 2,000 orang di seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan terbaru di Jepun, China, Taiwan dan Korea. saya bercita-cita membentuk usahawan wanita daripada golongan yang kurang bernasib baik dari segi peribadi mahupun pencapaian karier. Kebanyakan jaringan Sendayu Tinggi berjaya dibimbing melalui roadshow yang berbentuk motivasi.

Pn. Rozita Ibrahim adalah simbol usahawan berjaya
Daripada seorang penoreh getah, kini beliau telah berjaya dan berkembang maju hingga mampu mendirikan sebuah empayar perniagaan yang besar. Sematan pepatah "Hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat" meninggalkan kesan yang amat mendalam di jiwanya. Menurut wanita ini, dunia beliau pada hari ini memberikan satu kepuasan. Apa yang dikecapi hari ini membezakan peribadi beliau dahulu dan sekarang. Jika dahulu beliau hanya mampu menangis dan berdoa, sifat semulajadi wanita, tetapi kini ikhtiar,ikhtikad diri dan mengidamkan hadiah buat diri sendiri mengubah persepsi diri bahawa wanita perlu bangun dan bebaskan diri dari belengu. Inilah yang cuba Rozita sampaikan kepada wanita lain dan tidak salah jika kita mempunyai semangat kental yang sama seperti beliau.

Sebelum bergelar usahawan, Rozita Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Ita, terpaksa menempuh pelbagai onak dan duri. Beliau yang kini hampir mencecah umur 40 tahun telah berpisah dengan suami dan alami perkahwinan dan penceraian yang menyakitkan. Beliau menamatkan zaman gadis dalam usia terlalu muda dengan lelaki pilihan keluarga. Dalam usia itu, Rozita tidak berpeluang memikirkan tentang kerjaya. Hidupnya banyak dihabiskan untuk keluarga di samping membantu suami dengan menoreh, membekalkan makanan dan membuat kontrak perladangan pada pendatang asing serta menjalankan perniagaan kedai runcit di Felda Kechau 1, sempadan Gua Musang. Tragedi buruk berlaku ketika menyara anak yang berumur 3 bulan bilamana terpaksa menggantikan susu dengan air sirap kepada bayinya. Anak kedua pernah sakit dan lumpuh serta terpaksa menggunakan tumbuhan hutan untuk mengubatinya. Sayangnya arwah anak saya tidak berpeluang merasai kesenangan. Dia pergi kerana tidak mendapat rawatan terbaik. 
Keputusan berpisah dengan suami pertama menyebabkan dia dipulaukan oleh keluarga. Justeru itu, dia membawa diri ke kota dan mencuba pelbagai jenis pekerjaan untuk menampung empat orang anaknya. Operator pengeluaran, penyambut tetamu, eksekutif promosi dan pemasaran dan pekerja di syarikat jualan langsung pernah dijawatnya. Apa yang pasti, wanita tabah ini sentiasa belajar untuk membina diri sebagai wanita kental. Baginya, keperitan dan penderitaan hidup adalah "buah tangan" termahal dijadikan landasan untuk terus melangkah. Barang kemas yang sedikit sebanyak terpaksa digadaikan sebagai modal. Akhirnya bermodalkan RM400, dia memulakan perniagaan dalam menghasilkan formulasi herba. Beliau sanggup menjalankan ujikaji dengan menggemukkan badannya sendiri sebanyak 3 kali dan akhirnya berjaya menurunkan semula.

Jika diajak berbicara mengenai ibu tunggal, pada mulanya saya tidak yakin dengan status ini namun anak-anak menjadi iltizam hidup saya untuk terus berdiri. Saya bangun dan berjanji menjadi ibu dan bapa yang baik buat anak-anak saya. Oleh kerana dahulu saya kekurangan limpahan kasih sayang namun saya belajar dari pengalaman dan kasih sayang menjadi kunci kebahagiaan saya dan empat orang anak saya sekarang. Kejayaan saya kini berdasarkan kepada kekuatan prinsip dan sentiasa mahu memperbaiki diri.....itulah visi hidup saya. Tanpa visi dan prinsip, maka tiada apa yang boleh dimegahkan dalam peribadi diri.

Setelah 5 tahun mengharungi pahit getir dalam dunia perniagaan, Rozita yang mengkagumi tokoh Lim Goh Tong dan Boon Siew Honda akhirnya memahat nama sebagai seorang saudagar produk kecantikan atas nama yang kian popular, Sendayu Tinggi. Apa yang membanggakan, Sendayu Tinggi yang dahulunya Sendayu Tinggi Corporation sudah pun mempunyai 9 anak syarikat di bawahnya. Jumlah pengedar beliau lebih dari 2000 orang termasuk di Brunei dan Sigapura. Bukan setakat perniagaan menjual herba semata namun wanita ini lebih suka mendekatkan diri dengan masyarakat dengan berkongsi pelbagai petua kecantikan , pantang larang, kebahahgiaan rumahtangga serta membina keyakinan diri untuk wanita. Puteri sulungnya juga turut mempunyai syarikat sendiri dalam bidang tekstil. Apabila disentuh dengan matlamat dalam perniagaan, Rozita menjelaskan:

Dunia perniagaan seperti dalam pertempuran. Kemenangan adalah matlamat. Azam sentiasa digenggam. Dalam konteks perniagaan, pasti ada keuntungan pun begitu, saya ingin memberikan kualiti yang terbaik kepada pengguna. Apa yang saya perolehi, saya salurkan kepada masyarakat terutama golongan susah, ibu tunggal, orang tua, dan anak yatim. Bagi saya itulah nilai sebuah kasih sayang yang tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit. Saya sayangkan masyarakat dan saya juga ingin disayangi oleh masyarakat. Harapan utama ialah saya mahu mewarnai masyarakat, wanita dan ibu tunggal khususnya dari pelbagai aspek.

KAREKTOR

Sejak kecil tidak pandai duduk diam.
Dalam erti kata lain agresif

Suka berfikir dan mencari
idea-idea yang mencabar

Suka buat kejutan dan membuktikan
bahawa, Jika orang lain tak boleh, saya boleh.

Tiada apa yang tak menjadi
sekiranya tidak mencuba


SENDAYU TINGGI HOLDINGS SDN. BHD.
Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd. mempunyai 9 buah anak syarikat iaitu Sendayu Tinggi Corporation (M) Sdn. Bhd, Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn. Bhd, Sendayu Tinggi Properties & Management Sdn Bhd, ST Advertising Agency Sdn. Bhd, C Max Exhibition & Promotion, Sendayu Tinggi Logistics (M) Sdn Bhd, Ethnique Food Industries Sdn Bhd, ST Cosmetics & Fragrances (M) Sdn. Bhd. Sendayu Tinggi juga telah mempunyai kilang pemprosesan herba bagi produk tradisional iaitu Sendayu Tinggi Manufacturing (M) Sdn. Bhd.

SENDAYU TINGGI CORPORATION (M) SDN. BHD.
Telah beroperasi pada awal tahun 1999. Tujuan utama penubuhan syarikat ini ialah untuk memberi pendedahan mengenai perubatan herba tradisional sebagai satu rawatan alternatif kepada masyarakat, bukan sahaja mempunyai kesihatan yang terjamin malahan dapat mengecapi kemakmuran dan memperkayakan kehidupan. 


EVOLUSI KEUSAHAWANAN DI MALAYSIA

    Kegiatan keusahawanan telah lama bertapak di Malaysia sejak bermulanya aktiviti perdaganagan menggunakan sistem barter. Kedatangan pedagang asing dan perdagangan negara luar pada Zaman Kerajaan Melayu Melaka telah membantu aktiviti perniagaan yang secara kecil-kecilan berkembang kepada perdagangan antarabangsa. Keusahawanan di Malaysia dibahagikan kepada empat peringkat, iaitu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, era penjajahan, selepas kemerdekaan dan era masa kini.

Pertanian merupakan asas kepada pembangunan dan perkembangan ekonomi di seluruh dunia. Kegiatan ekonomi di Tanah Melayu dalam bentuk pertanian bercucuk tanam dan penternakan telah bermula sejak dari zaman logam (iaitu 2500 tahun dahulu) lagi.

Keusahawanan di Malaysia bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka (1402-1511). Masyarakat tempatan pada masa itu telah mengamalkan sistem ekonomi sara diri dan separa sara diri. Masyarakat tempatan menumpukan dalam kegiatan mengutip hasil hutan, menangkap ikan, memburu binatang dan mengaplikasikan sistem barter iaitu pertukaran barangan. Penduduk tempatan juga menjalankan pertanian dagangan, perlombongan dan perdagangan dengan pedagang asing dari China, Arab dan india. Kemasyhuran di kalangan pedagang luar asing datang berdagang di Malaysia telah menimbulkan minat dan kedatangan kuasa besar iaitu British.

Pada era penjajahan (1874), British secara rasminya menjajah Tanah Melayu dan telah menjalankan pemerintahan “Pecah dan Perintah” yang telah menyebabkan pengasingan antara kaum-kaum yang ada di Tanah Melayu. Bangsa Melayu bekerja dalam sektor pentadbiran dan pertanian, bangsa Cina terlibat dalam perlombongan dan perniagaan manakala bangsa India bekerja di estet atau perladangan.

Selepas kemerdekaan (1957), kerajaan melancarkan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Dasar Pembangunan Negara (1990-2000) dan Wawasan 2020 untuk membangunankan ekonomi di Malaysia. Masyarakat tempatan pada ketika itu telah diberi kesedaranakan kepentingan bidang keusahawanan kepada individu, masyarakat dan negara, dan juga akibat masalah rusuhan kaum pada pemerintahan British. Perkataan usahawan popular di kalangan masyarakat Malaysia hanya dalam pertengahan tahun 1970-an.

Pada era masa kini (1995), Kementerian Pembangunan Keusahawanan ditubuhkan sebagai badan yang mengawal dan mempromosi pembangunan keusahawanan di Malaysia. Kini, kementerian tersebut telah ditukar kepada Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi yang berperanan sebagai agensi utama bagi pembangunan usahawan Bumiputera. Objektif utama Kementerian adalah untuk menyediakan persekitaran yang membantu dan menggalakkan pembangunan usahawan tulen yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing dalam semua sektor serta memupuk budaya keusahawanan dan koperasi di kalangan rakyat Malaysia.

Perkembangan teknologi pada masa kini telah membuka peluang baru kepada usahawan untuk menjalankan perniagaan baru seperti e-dagang.