Tuesday, October 14, 2014

FAIZA BAWUMI SEORANG USAHAWAN WANITA YANG BERJAYA




Nama           :  Faiza Bawumi Sayed Ahmad.
Umur           :  69 Tahun
Asal            :  Mesir
Jawatan     :  Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn. Bhd
Pendidikan :  Diploma Jahitan


Faiza Bawumi Sayed Ahmad adalah pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd. pada tahun 1964, wanita kelahiran Mesir ini telah berhijrah ke Malaysia kerana mengikut suaminya.  Pada ketika itu, beliau mampu menguasai Bahasa Melayu dan fasih berbahasa Melayu setelah hanya tiga bulan di Malaysia kerana sifat beliau yang peramah dan suka bergaul dengan jiran jirannya. Meskipun  sudah berusia lingkungan 60an, beliau yang mempunyai tujuh orang anak dan juga seorang nenek kepada 32 cucu sibuk masih giat merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini. 

Wanita yang berperwatakan lembut itu sebenarnya seorang yang tegas. Beliau mahu memastikan syarikat yang ditubuhkan perlu berada di landasan betul sekali gus mencatatkan keuntungan saban tahun. Puan Faiza yang memangnya dilahirkan dalam keluarga yang juga bergiat dalam perniagaan. Berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak kecil, beliau pernah menjadi juruwang di kedai milik bapanya. Pengalaman tersebut mendorong beliau untuk bergiat secara serius dalam bidang perniagaan.

Setelah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata yg pertama, beliau mengikut  suaminya berhijrah ke Malaysia. Puan Faiza mencari aktiviti berfaedah yg boleh dilakukannya bagi mengelakkan masanya terluang begitu sahaja. Beliau bermula dengan mengambil upah menjahit sulaman dengan modal RM4 dan menjual pelbagai barangan dapur. Beliau juga membeli kain ela dan membuat baju gaun untuk anak-anak kecil jiran-jirannya. Kemudian beliau menghasilkan set sarung bantal. Hasil jahitannya yang cantik dan kemas dijual kepada kawan-kawannya. Seterusnya, beliau berniaga set ensiklopedia, diikuti bisnes pinggan mangkuk. Melalui bisnes kecil kecilan ini, beliau menabung wang bagi menjadikan modal bisnes seterusnya.

Beliau berminat pula menghasilkan rempah kari. Beliau membeli pelbagai rempah ratus seperti ketumbar, jintan, halba, cili kering, cengkih dan sebagainya untuk membancuh ramuan-ramuan tersebut bagi menghasilkan rempah kari ikan dan daging di bawah jenama Bunga Raya. Semuanya dilakukan sendiri di rumah, daripada mencuci, menjemur dan menggoreng rempah ratus tersebut. Kemudian, beliau menghantarnya ke kedai bagi dikisar dan diedarkan.

Selang beberapa tahun kemudian, Puan Faiza membeli pula sebuah mesin pengisar dan membuka kedai runcit dengan modal daripada menjual rempah kari itu. Dari situ beliau mendapati bahawa pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain. Beliau mula belajar pelbagai jenis beras. Puan Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam setelah mendapat maklumbalas positif atas usaha selidik beliau pergi dari satu kedai ke satu kedai bagi mendapatkan respon sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya. Para pelanggan yang melanggan rempahrempah beliau turut membeli beras daripadanya.

Pada permulaan, beliau agak buntu melihat satu lori treler penuh berisi beras diletakkan di hadapan rumah, namun beliau nekad dengan berusaha membungkus menggunakan jenama Bunga Raya dan menghantar ke kedai-kedai di seluruh Johor.

Perniagaan beliau mendapat sambutan walaupun mendapat persaingan yang agak sengit. Pada awal tahun 90an, syarikat telah mengambil peluang ke atas kepekaan masyarakat pada ketika itu kepada cara pembuatan dan kandungan makanan. Syarikat mula memperkenalkan dengan sejenis kategori beras berkualiti dari Kartanaka, India. Beras ini adalah jenis beras “Ponni”.  Menerusi produk berkualiti dan berkhasiat sesuai untuk pesakit seperti pesakit diabetis, SFSB memperkenalkan beras  “Ponni” ini ke seluruh Malaysia.

Syarikat beliau kini telah dikenali kerana kualiti produk yang tinggi, seratus peratus buatan Islam dan halal. Beliau berharap dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa was-was meragui status halalnya.

Puan Faiza bukan sahaja menjadi Pengarah Urusan Syarikat Faiza, tetapi turut bertungkus-lumus menentukan operasi syarikat berjalan lancar dan turut terlibat dalam projek kilang milik Syarikat Faiza bernilai RM14 juta di Sri Gading, Batu Pahat. Kejayaan beliau sekarang bukan diperolehi dengan mudah, tetapi setelah mengharungi segala cabaran selama 43 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan. Puan Faizah berkata semua usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah. 

Puan Faiza menyarankan agar umat Islam di negara ini supaya hidup bersatu padu supaya tidak mudah ditindas oleh bangsa lain dan hubungan yang kukuh sesama umat Islam bukan sahaja mampu memajukan masyarakat Islam di negara ini, malah mampu meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat tersebut.

Puan Faiza berkata pengalamannya berniaga, termasuk berurusan dengan bangsa lain membuka mindanya untuk menyedarkan masyarakat Islam khususnya orang Melayu betapa perlunya mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain seperti yang diamalkan bangsa lain. Beliau sentiasa mencontohi keperibadian Nabi Muhammad S.A.W dalam menjalankan kehidupan seharian, terutama amanah dan gigihnya Baginda Rasullulah dalam menjalankan perniagaan serta dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.


Pada usia emas, Hajah Faiza masih lagi aktif mengurus bisnessnya. Beliau dibantu oleh lima orang daripada tujuh anak-anaknya di samping ratusan orang pekerja. Kini beliau melakukan kerja-kerja amal di bawah pergerakan wanita UMNO Batu Pahat, Johor. Hajah Faiza berpegang teguh kepada prinsip bagi maju dalam bisnes individu itu perlu rajin berusaha, tifak mudah patah semangat  dan perlu mengamalkan sikap berjimat-cermat. Segala usaha bisnes walaupun bermula secara kecil-kecilan tidak boleh dipandang mudah kerana kesusahan itu dapat membina daya ketahanan diri kepada usahawan.

Saya memilih beliau kerana:

1. Rajin berusaha.

kejayaannya yang diperolehi sekarang bukan diperolehi dengan mudah, tetapi setelah mengharungi segala cabaran dan sikap sentiasa berusaha selama 43 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan. Sikap positif yang ditunjukkan oleh beliau mendatangkan minat saya untuk menjadikan beliau sebagai inspirasi dan pendorong kepada saya. Sikap rajin berusaha dalam hidup akan mendatangkan kejayaan tidak kira dari segi pelajaran mahupun dalam bidang pekerjaan. Oleh itu, jika seseorang rajin berusaha pasti akan berjaya dalam hidup. Bak kata pepatah berakit-rakit kehulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.


2. Bijak mengambil peluang.

Setiap usahawan yang yang berkecimpung dalam dunia perniagaan haruslah berani dan bijak mengambil peluang dalam mengembangkan sesuatu perniagaan. Sikap yang ditonjolkan oleh beliau adalan memanfaatkan segala peluang yang ada dengan melakukan segala pekerjaan yang bermula daripada bawah sehingga beliau mampu menjadi usahawan yang berjaya. Tidak ada cara lain untuk kita bersaing dengan orang lain kecuali dengan cara melakukan transformasi agar kita terus berusaha sehingga kejayaan menjadi milik kita. ini secara tidak langsung telah membuka minda saya supaya kita haruslah memanfaatkan segala peluang agar kita terus maju kehadapan dan mencapai cita-cita yang diimpikan. 


3. Bersikap jimat-cermat.

Kali ini saya hendak bercerita pula tentang berjimat cermat kerana ia membawa berkat. Usahawan ini mementingkan sikap berjimat cermat dalam kehidupan sehariannya. seharusnya amalan ini dijadikan amalan hidup kita semasa berbelanja mengikut keperluan diri sendiri dan bukannya di pengaruhi oleh kemahuan dengan mengambil kira kewangan diri. Lebih senang dikatakan menjadi pengguna yang berhemah. Memandangkan kepada ekonomi global yang tidak menentu,harga barang-barang keperluan yang semakin hari melambung naik. Oleh itu kita disarankan supaya berjimat cermat dan mengurangkan perbelanjaan harian supaya duit lebihan dijadikan tabungan untuk persediaan pada masa hadapan.


No comments:

Post a Comment