Perkataan ‘entrepreneur’ adalah dalam bahasa Inggeris tetapi asal perkataan tersebut datangnya dari perkataan bahasa Perancis “entrepredre” yang bermakna memikul atau mencuba. Dalam bahasa Melayu pula perkataan ini dimaksudkan sebagai “untuk mengambil alih” dan istilah usahawan sebenarnya berasal dari perkataan ‘usaha’. Menurut kamus dewan, usaha ialah daya upaya termasuk ikhtiar, kegiatan, perbuatan dan lain-lain hal untuk melaksanakan atau menyempurnakan sesuatu pekerja.
Evolusi keusahawanan berlaku pada pelbagai zaman menunjukkan perubahan-perubahan yang berlaku terhadap konsep dan teori dalam keusahawanan. Keusahawanan bermula pada zaman awal di dunia, dan telah menjadi sebahagian daripada setiap generasi dan abad. Evolusi itu boleh berlaku dan yang hanya diperlukan adalah satu idea dan kemudian tindakan untuk menjadikan ia sebenar. Sesuatu ciptaan itu akan berubah jika ada sesuatu yang baru mengubahnya.
Pada zaman permulaan evolusi keusahawanan, Marco Polo telah menjadi orang tengah kerana beliau melakukan perjalanan perdagangan ke Timur Tengah. Beliau telah menandatangani kontrak perjanjian dengan kapitalis yang merupakan penanggung risiko yang pasif. Risiko yang ditanggung beliau menjadi lebih tinggi. Keuntungan yang diperoleh mereka akan dibahagikan di antara kapitalis dengan pedagang tersebut.
Pada zaman pertengahan evolusi keusahawanan, usahawan merupakan seorang yang terlibat di dalam menjaga dan mengawal projek produksi yang besar. Usahawan pada zaman ini telah menggunakan sumber-sumber yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Mereka tidak pula menanggung sebarang risiko kerana mereka bertanggungjawab kepada projek besar kerajaan dengan mengawal kerja-kerja pembinaan seperti bangunan awam dan gereja.
Pada abad ke 17, keusahawanan pada abad ini menunjukkan terdapat perubahan baru apabila wujud hubungan antara risiko dan usahawan. Mereka telah menandatangani kontrak perjanjian dengan kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan dan membekalkan produk yang telah ditentukan. Harga kontrak tersebut adalah tetap dan tidak berubah. Oleh hal yang demikian, rugi ataupun untung ditanggung oleh usahawan tersebut. Pakar ekonomi dan pengasas keusahawanan pada zaman tersebut ialah Richard Cantillion telah memberikan pendapat beliau menyatakan bahawa usahawan merupakan seorang penerima risiko seperti petani, peniaga kecil, dan pertukangan tangan.
Seterusnya pada abad ke 18, usahawan telah dipisahkan daripada pemodal. Hal ini kerana perkembangan individu dan penciptaan individu yang berlaku di seluruh dunia mendesak kepada perubahan dalam konsep keusahawanan. Contohnya, syarikat Eli Whitney & Thomas Edison yang merupakan seorang pengguna capital, bukan pembekal modal.
Pada abad ke 19 dan 20, konsep keusahawanan menunjukkan usahawan merupakan seorang yang inovatif, mengubah proses-proses pengeluaran, dan penghasilan barang-barang baru. Bidang pengurusan seperti pereka cipta yang mencipta idea, produk, dan teknologi baru dikenali sebagai seorang usahawan. Hal ini menunjukkan perubahan yang telah berlaku terhadap generasi pada abad tersebut.
Pada abad yang ke 21 pula, usahawan merupakan seorang wira kepada masyarakat untuk pasaran keusahawanan bebas dan mereka juga merupakan peneraju dalam bidang perniagaan. Mereka telah mencipta pelbagai jenis produk dan perkhidmatan yang diinginkan oleh masyarakat serta sanggup menghadapi pelbagai risiko yang bakal mereka tanggung pada masa hadapan. Kebanyakkan masyarakat mengatakan usahawan adalah seorang perintis atau pelopor di dalam mencipta sesuatu perniagaan baru di dalam pasaran. Justeru, usahawan memainkan peranan yang sangat penting dalam memenuhi kehendak pelanggan dan permintaan dalam pasaran.
No comments:
Post a Comment